ANALISIS NOVEL TINGKATAN 4

AZFA HANANI

Sinopsis
         Novel ini mengisahkan pengorbanan seorang gadis remaja yang bernama Azfa Hanani ( Nani ). Azfa Hanani merupakan murid tingkatan 5 Kenanga, Sekolah Menengah Seri Dian. Azfa Hanani telah diminta menyamar sebagai Tengku Murni oleh Tengku Mazran dan isterinya Syafinaz.Hal ini demikian kerana Tengku Murni telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya. Datin Maziah yang turut terlibat dalam kemalangan itu koma. Apabila Datin Maziah sedar daripada komanya, dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa anak perempuan tunggalnya telah meninggal dunia.

        Azfa Hanani yang hidup dalam kemiskinan di rumah Pak Madi (Pak Long) telah mengambil buku rujukan tanpa kebenaran pihak sekolah. Tujuannya adalah untuk mengulang kaji pelajarannya . Pada masa yang sama anak Pak Longnya Zuraini mengalami penyakit lumpuh. Azfa Hanani yang merasakan dirinya membebani keluaga Pak Long bertekad untuk menerima tawaran penyamaran sebagai Tengku Murni. Azfa Hanani menerima tawaran itu kerana Tengku Mazran berjanji untuk menanggung kos rawatan Zuraini.

        Azfa Hanani dibawa ke banglo Datuk Tengku Makmur untuk menemui Datin Maziah. Azfa Hanani telah diberi penjelasan dan tunjuk ajar oleh Tengku Mazran dan isterinya tentang tingkah laku Tengku Murni. Penyamaran itu nampaknya berhasil kerana Datin Maziah tidak mengesyaki apa-apa kekurangan yang ada dalam diri Azfa Hanani. Kemudian Azfa Hanani dihantar bersekolah di Sekolah Menengah Taman Sari. Di situ, dia mengenali rakan-rakan Tengku Murni, seperti Tengku Ellina, Suzana, Adriani, Ekran dan lain-lain. Azfa Hanani turut mengenali beberapa orang pelajar yang tidak menyukai Tengku Murni iaitu Laili, Syafikah dan Fuziana. Di banglo Datin Maziah dan di sekolah barunya pelbagai peristiwa gembira dan sedih telah dilaluinya.

           Azfa Hanani telah membaca diari Tengku Murni. Melalui diari ini terbongkar rahsia cinta yang terhalang antara Tengku Murni dan Ekran. Cinta mereka terhalang disebabkan abang Tengku Murni, Tengku Muzaffar mementingkan status keluarga mereka sebagai golongan kaya dan bangsawan. Hal ini menyebabkan konflik berlaku antara Azfa Hanani dan Tengku Muzaffar. Pertengkaran mereka telah didengari oleh Datin Maziah, akibatnya penyamaran Azfa Hanani terbongkar. Datin Maziah telah menghalau Azfa Hanani keluar dari rumah.

             Azfa Hanani pulang ke rumah Pak Long Madi di Kampung Merpati. Tengku Datuk Makmur dan Datin Maziah datang ke Kampung Merpati untuk memohon maaf dan memujuk Azfa Hanani agar kembali ke banglo mereka. Tengku Datuk Makmur menceritakan kisah yang terjadi enam belas tahun yang lalu. Menurut beliau kematian ibu bapa Azfa Hanani disebabkan kecuaiannya semasa memandu dalam keadaan mabuk.Teksi yang dinaiki oleh ibu bapa Azfa Hanani telah terjunam ke dalam gaung dan Azfa Hanani tercampak keluar. Datin Maziah yang bersimpati dengan Azfa Hanani telah menyusuinya.

           Datin Maziah dan Datuk Tengku Makmur ingin menebus kesalahan mereka. Mereka memujuk agar Azfa Hanani kembali tinggal bersama-sama mereka. Akhirnya Azfa Hanani bersetuju untuk kembali tinggal di banglo itu dengan identiti sebenarnya. Dia juga mengetahui bahawa ibu bapa Ekran sebenarnya merupakan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia. Mereka bukannya miskin sebagaimana yang dikatakan oleh Tengku Muzaffar.

TEMA
Tema dalam novel Azfa Hanani ialah penyamaran yang dilakukan oleh seorang gadis demi menyelamatkan seorang ibu daripada menghadapi tekanan jiwa kerana kehilangan anak kesayangannya dalam kemalangan jalan raya. Azfa Hanani seorang anak yatim piatu sanggup menerima tawaran untuk menjadi Tengku Murni bagi memastikan Datin Maziah yang baru tersedar daripada koma tidak tertekan jika mendapat tahu bahawa anak kesayangannya telah meninggal dunia.

PERSOALAN
1. Pengorbanan dalam menempuh kehidupan.
a. Azfa Hanani sanggup menerima tawaran Abang Mazran dan Kak Finaz bagi menggantikan tempat Tengku Murni. Kesanggupannya itu juga membolehkan sepupunya mendapat rawatan penyakit lumpuhnya sebagai balasan.
b. Azfa Hanani berkorban dengan meninggalkan rakan-rakannya dan keluarga di kampung.
c. Azfa Hanani sanggup mengorbankan perasaannya yang tidak selesa tinggal di rumah Datin Maziah. Hal yang demikian kerana Azfa Hanani dapat merasakan bahawa Tengku Muzaffar dan Tengku Datuk Makmur seakan-akan tidak menyukai kehadirannya di rumah itu.

2. Berani mengambil risiko.
a. Azfa Hanani seorang gadis yang baru berusia 17 tahun tetapi berani mengambil risiko dengan menyamar sebagai Tengku Murni.
b. Azfa Hanani berani mencuba suasana yang baharu, iaitu di rumah baharu, sekolah baharu dan kawan-kawan yang baharu.
3. Kegigihan dan tidak berputus asa dalam menjalani kehidupan seharian.
a. Azfa Hanani yang berasal daripada keluarga miskin tetap gigih belajar dengan tujuan untuk membaiki masa depan keluarga dan hidupnya.
b. Selepas dihalau oleh Datin Maziah dan kembali tinggal di kampung, Azfa Hanani masih bersikap optimis dan tidak berputus asa.
4. Sikap manusia yang mementingkan darjat atau pangkat.
a. Datuk Tengku Makmur menganggap Azfa Hanani sanggup untuk menyamar kerana tamakkan harta.
b. Tengku Muzaffar tidak membenarkan arwah adiknya berkawan dengan Ekran kerana Ekran berasal dari keluarga yang susah.
c. Sikap Laili yang sombong dan angkuh kerana berasal daripada keluarga yang kaya.
5. Berpegang kepada janji.
a. Datuk Tengku Makmur tetap menunaikan janjinya untuk membayar ‘upah’ kepada Azfa Hanani kerana menyamar sebagai Murni.
b. Tengku Mazran menunaikan janjinya dengan membiayai kos rawatan Zuraini.
c. Datuk Tengku Makmur dan Datin Maziah berpegang kepada janji mereka 16 tahun yang lalu untuk menjaga Azfa Hanani dengan penuh kasih sayang sebagai menebus kesalahan mereka.



WATAK.
Jenis Watak:
1. Watak utama / watak protagonis
a. Watak utama memainkan peranan penting dalam sesebuah cerita.
b. Watak utama muncul dalam sebahagian besar peristiwa penting sesebuah cerita.
c. Watak utama dalam novel ini ialah Azfa Hanani.

2. Watak sampingan
a. Watak sampingan menyokong tindak-tanduk watak utama untuk melengkapkan cerita.
b. Kemunculan watak sampingan tidak sekerap watak utama.
c. Antara watak sampingan dalam novel ini ialah Tengku Mazran, Kak Syafinaz, Datin Maziah, Tengku Datuk Makmur, Tengku Ellina, Tengku Muzaffar dan Ekran.

3. Watak Antagonis.
a. Watak antagonis sentiasa menimbulkan konflik dengan watak utama.
b. Watak antagonis dalam novel ini ialah Laili yang memusuhi Azfa Hanani.

4. Watak Bulat / Watak Bundar.
a. Watak ini merupakan watak utama yang menepati sifat manusia dalam kehidupan sehari-hari.
b. Dalam novel ini, Azfa Hanani merupakan watak Bundar.
c. Azfa Hanani memiliki sifat-sifat yang ada pada manusia biasa. Misalnya, dia berasa takut/malu jika tindakannya sering ‘meminjam’ buku-buku rujukan SPM dari perpustakaan akan diketahui orang. Azfa Hanani juga berasa tersinggung apabila dihina. Contohnya, tindakan Datuk Tengku Makmur mencampakkan wang ‘upah’ penyamarannya itu ke atas katil telah menyinggung perasaan Azfa Hanani.

5. Watak Pipih.
a. Watak ini merupakan watak sampingan yang hanya dipusatkan pada suatu aspek sifat atau fikirannya.
b. Watak ini tidak kompleks dan tidak berkembang.
c. Antara watak pipih dalam novel ini ialah Tengku Ellina yang merupakan saudara dua pupu Tengku Murni dan menolong Azfa Hanani menyesuaikan diri di Sekolah Menengah Taman Sari.

6. Watak Dinamik.
a. Watak dinamik berubah, sama ada dari segi psikologi atau dari segi aksi-aksi yang berlaku dalam plot.
b. Perubahan yang berlaku mungkin daripada kurang baik menjadi yang baik atau sebaliknya.
c. Contoh watak dinamik dalam novel ini ialah Tengku Muzaffar. Dia pada mulanya sering menunjukkan sikap syak wasangka terhadap Azfa Hanani. Dia juga memandang rendah terhadap orang yang kurang berada. Namun akhirnya, dia telah berubah dan insaf atas perbuatannya terhadap Azfa Hanani. Tengku Muzaffar mula berjinak-jinak dengan masjid dan mengikuti pengajian agama di situ.

7. Watak Statik.
a. Watak statik tidak mengalami sebarang perubahan tingkah laku atau fikiran dari awal hingga ke akhir cerita.
b. Contoh watak statik dalam novel ini ialah Kak Finaz (Syafinaz).


WATAK DAN PERWATAKAN
Azfa Hanani / Aku
a. Azfa Hanani ialah watak utama novel ini.
b. Berumur 17 tahun.
c. Secara fizikalnya Azfa Hanani gadis yang cantik, wajahnya lembut.
d. Azfa Hanani kehilangan kedua ibu bapanya semasa dia masih bayi.
e. Dia bersekolah dalam Tingkatan Lima Kenanga di SM Seri Dian dalam aliran sains setelah mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan SRP, kecuali subjek Bahasa Inggeris.
f. Dia dibesarkan oleh bapa saudaranya dalam serba kekurangan.
g. Gigih dalam menuntut ilmu. Buktinya setiap hari dia berulang-alik dari rumah ke sekolah sejauh 30 km dengan menggunakan bas sekolah.
h. Taat kepada pak long dan mak longnya. Dia meminta keizinan mereka terlebih dahulu sebelum bersetuju untuk mengikut Abang Mazran dan Kak Finaz ke Kuala Lumpur.
i. Penyayang. Dia amat menyayangi anak-anak pak longnya.
j. Bertanggungjawab. Dia tetap mengeposkan buku-buku rujukan SPM yang ‘dipinjamnya’ itu kepada Cikgu Zamin.
k. Taat pada perintah agama. Buktinya, dia rajin bersembahyang dan selalunya setiap malam Jumaat dia akan membaca Al-Quran untuk disedekahkan kepada arwah ayah dan ibunya.
l. Bijak bergaul. Dia tidak kekok untuk bercampur dengan pelajar-pelajar di sekolah baharunya, iaitu SM Taman Sari.
m. Cekal hati. Contohnya, Azfa Hanani berjaya mengharungi kehidupan seorang diri di tempat yang baharu.
n. Pemaaf. Dia sudi memaafkan perbuatan Datuk Tengku Makmur dan Datin Maziah.
o. Teguh jati diri. Buktinya, dia masih mahu mengekalkan identiti diri sebagai Azfa Hanani walaupun telah diterima baik oleh keluarga Datuk Tengku Makmur.
Tengku Murni / Murni
a. Anak perempuan Datuk T. Makmur dan Datin Maziah.
b. Wajahnya seiras dengan Azfa Hanani.
c. Meninggal dunia akibat kemalangan yang menimpanya semasa memandu bersama-sama ibunya.
d. Gemar berpakaian ‘rugged’. Buktinya diceritakan oleh Azfa Hanani melalui gambar-gambar di dalam album Tengku Murni.
e. Anak yang manja. Tengku Murni akan mencium pipi ibunya sebelum keluar ke mana-mana.
f. Peramah. Tengku Ellina memberitahu Azfa Hanani bahawa Murni baik dengan hampir semua pelajar SM Taman Sari.
g. Tidak mudah mengalah. Buktinya melalui perbualan antara Abang Mazran dan Azfa Hanani, Murni dikatakan tidak mahu beralah apabila bergaduh dengan abang-abangnya.
h. Tidak memandang rendah pada orang lain. Syafiqah dan Fuziana ditegur oleh Murni kerana sering merendahkan orang lain.
Datin Maziah
a. Isteri Datuk Tengku Makmur.
b. Ibu kepada Tengku Murshadad (anak sulung), Tengku Mirzan, Tengku Mazran, Tengku Muzaffar dan akhirnya Tengku Murni.
c. Hidup bermadu setelah suaminya bernikah dengan seorang gadis muda.
d. Ibu yang penyayang. Dia sangat menyayangi dan memanjakan Tengku Murni.
e. Mengalami tekanan perasaan. Tengku Mazran terpaksa meminta Azfa Hanani menyamar sebagai Tengku Murni bagi meredakan tekanan perasaan yang dialami oleh ibunya itu.
Tengku Mazran / Abang Mazran
a. Anak Datuk Tengku Makmur dan Datin Maziah.
b. Isterinya bernama Syafinaz.
c. Anak yang bertanggungjawab. Buktinya, dia berusaha untuk menyembuhkan ibunya dengan mencari
penawarnya, iaitu meminta Azfa Hanani menyamar sebagai adiknya Tengku Murni.
d. Penyayang. Buktinya, atas dasar kasih kepada ibu, dia berusaha untuk menyembuhkan tekanan perasaan yang dihadapi ibunya.
e. Mengambil berat. Buktinya dia sentiasa mengambil tahu akan keperluan Azfa Hanani.
f. Berpegang teguh pada janji. Setiap janjinya dengan Azfa Hanani ditunaikan.
g. Berpendirian terbuka. Contohnya, dia tidak begitu kisah dengan statusnya yang berketurunan
bangsawan.
Syafinaz/Kak Finaz
a. Isteri Tengku Mazran.
b. Kakak ipar yang baik hati. Buktinya banyak membantu AH sepanjang dia tinggal di rumah banglo Datin
Maziah.
c. Sanggup berkorban. Dia telah berhenti kerja kerana hendak mengurus keluarga mentuanya setelah Datin Maziah sakit.
d. Bijak mengurus diri. Setelah AH dapat menyesuaikan dirinya, Kak Finaz menyambung tugasnya sebagai seorang arkitek.
Ekran
a. Ayah dan ibunya merupakan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia dan kini sedang mengikuti kursus doktor falsafah di Amerika Syarikat.
b. Ekran pengerusi Persatuan Pelajar Tingkatan Lima di SM Taman Sari.
c. Ingin menjadi akauntan. Buktinya, perniagaan burger diusahakannya bagi mempraktikkan apa-apa yang dipelajarinya di sekolah.
d. Cekap. Projek Hari Sumbangsih telah berjaya membuat kutipan yang tinggi hasil kecekapannya sebagai pengerusi.
e. Merendah diri. Dia tidak berasa malu untuk berniaga burger sungguhpun dia berasal dari keluarga yang agak berada.
f. Mempunyai hubungan yang istimewa dengan Tengku Murni. Diari Tengku Murni yang dibaca oleh AH mengesahkan hubungan mereka.
Datuk Tengku Makmur
a. Suami Datin Maziah.
b. Mempunyai dua orang isteri.
c. Angkuh. Dia menilai pertolongan yang diberikan oleh AH berdasarkan pertimbangan wang ringgit
semata-mata.
e. Berpegang teguh pada janji. Buktinya selama 16 tahun beliau dan Datin Maziah mencari AH namun tidak berjumpa. Tujuannya untuk menunaikan janji mereka untuk memelihara AH.

LATAR
Latar Tempat
1. Di makmal kimia. Di sinilah Azfa Hanani bimbang kerana mengesyaki perbuatannya ‘mencuri’ buku-buku rujukan dari perpustakaan terbongkar.
2. Di bilik pengetua. Azfa Hanani bertemu buat kali yang pertama dengan Tengku Mazran dan Kak Finaz.
3. Di rumah pak long. Tempat Azfa Hanani dibesarkan.
4. Di Hotek Universe. Azfa Hanani diberi tunjuk ajar oleh Kak Finaz tentang cara Tengku Murni makan, bercakap, dan lain-lain lagi.
5. Di banglo kepunyaan Datin Maziah. Tempat tinggal Azfa Hanani.
3. Di Sekolah Menengah Taman Sari. Perjumpaan yang diadakan oleh pelajar-pelajar Tingkatan lima bagi berbincang tentang projek Hari Sumbangsih yang akan diadakan.
4. Di Institut Lingua Franca. Tempat di mana Azfa Hanani belajar bahasa Inggeris dan Bahasa Jepun.
5. Di rumah Tengku Ellina. Azfa Hanani dan para pelajar yang lain berlatih dan berbincang tentang pertandingan Forum Remaja.
6. Di dusun Pak Haji Arshad. Datuk Tengku Makmur sekeluarga datang menemui Azfa Hanani.

Latar Masa
1. Latar masa novel ini mengambil masa beberapa bulan sahaja iaitu semasa Azfa Hanani menuntut di Sekolah Menengah Sri Dian dan kemudiannya meneruskan persekolahannya di Sekolah Menengah Taman Sari.
2. Peristiwa dalam novel ini berlaku pada waktu siang, petang dan malam. Azfa Hanani menjalani kehidupannya sebagai pelajar pada waktu pagi . Waktu petang pula adalah ketika Datin Maziah mengadakan sambutan hari jadi Azfa Hanani yang ke-17. Latar malam ketika Azfa Hanani membaca dan mengkaji diari Tengku Murni.

Latar Masyarakat
1. Masyarakat yang sanggup berkorban dengan tujuan membantu orang lain.
Contohnya, Azfa Hanani yang sanggup menerima tawaran menyamar sebagai Tengku Murni dengan tujuan untuk menyelamatkan Datin Maziah daripada mengalami tekanan jiwa.
2. Masyarakat yang mengutamakan kasih sayang. Contohnya, sungguhpun kehidupan pak long sekeluarga susah, namun mereka kaya dengan kasih sayang.
3. Masyarakat yang bertanggungjawab.Contohnya, sikap Azfa Hanani yang melaksanakan tugas sebagai pengerusi Hari Sumbangsih yang dipertanggungjawabkan kepadanya dengan cemerlang sekali.
4. Masyarakat elit yang bongkak dan sombong kerana statusnya. Contohnya, Datuk Tengku Makmur yang memandang rendah dan menghina Azfa Hanani kerana berasal dari kampung dan miskin dengan mencampakkan wang ke atas katil sebagai upah menyamar.
5. Masyarakat pelajar. Contohnya, masyarakat pelajar di Sekolah Menengah Sri Dian tempat Azfa Hanani melanjutkan pelajaran di Tingkatan 5 Kenanga. Selain itu, masyarakat pelajar di Sekolah Menengah Taman Sari yang sibuk menjayakan Hari Sumbangsih.
6. Masyarakat yang berpegang kepada janji. Contohnya, Tengku Mazran berusaha sedaya upaya membantu sepupu Azfa Hanani mendapatkan rawatan bagi menyembuhkan penyakit lumpuhnya dengan menghantar Zuraini ke Indonesia.


PLOT
- Plot ialah jalan cerita iaitu rentetan peristiwa yang ada sebab dan akibat.
- Plot novel ini disusun secara kronologi iaitu mengikut urutan masa.
Permulaan cerita.
Pembaca diperkenalkan dengan watak Azfa Hanani yang berasa takut setelah mengetahui bahawa orang yang selalu mencuri buku rujukan di perpustakaan telah dikenal pasti dan akan ditangkap.
Azfa Hanani berkenalan dengan Tengku Mazran dan Kak Finaz yang memintanya menyamar sebagai Tengku Murni kerana muka mereka seiras.
Perkembangan.
Azfa Hanani diajar cara bertutur, makan dan bergaul seperti Tengku Murni dan kemudiannya dihantar ke Sekolah Menengah Taman Sari untuk bersekolah.
Azfa Hanani belajar menyesuaikan diri menjalani kehidupan mewah sebagai Tengku Murni. Di sekolah dia mengalami konflik kerana kadang-kadang dia menjadi Azfa Hanani dan Tengku Murni.
Kumpulan Budak Glamor benci akan Azfa Hanani kerana sebelum ini mereka tidak sependapat dengan Murni.
Azfa Hanani diminta menjadi pengerusi forum menggantikan Ellina. Dia berjaya menjalankan tugas itu dengan baik dan muncul sebagai pengerusi terbaik.
Tengku Muzaffar yang pada mulanya membenci Azfa Hanani kini mula menunjukkan perasaan sayang seperti seorang adik setelah sering mendengar Azfa Hanani membaca surah Yasin.
Berdasarkan diari Tengku Murni, Azfa Hanani mengetahui bahawa Tengku Muzaffarlah menjadi punca putusnya hubungan antara Murni dan Ekran.
Klimaks/Puncak Cerita
Azfa Hanani bertengkar dengan Tengku Muzaffar kerana sikap Tengku Muzaffar yang membenci, menghina dan menghalang Azfa Hanani daripada berkawan dengan Ekran.
Pertengkaran mereka didengar oleh Datin Maziah dan rahsia penyamarannya terbongkar.
Datin Maziah begitu marah kerana berasa tertipu lalu menampar dan menghalau Azfa Hanani dari rumah.
Peleraian Cerita
Penyakit lumpuh Zuraini telah sembuh setelah menjalani rawatan di Jakarta.
Datuk Tengku Makmur menemui orang yang dicari selama ini dan mengakui bahawa dialah yang melanggar teksi yang dinaiki oleh ibu bapa Azfa Hanani sehingga mereka terbunuh. Akhirnya Azfa Hanani diterima sebagai anggota keluarga mereka dan kembali ke banglo Datin Maziah.
Syafinaz menyambung kerjayanya sebagai arkitek.
Iskandar terbunuh dalam kemalangan jalan raya dan Laili cedera parah.
Program Hari Sumbangsih berjaya mengumpul dana melebihi sasaran yang ditetapkan.
Pasukan Forum Remaja Azfa Hanani menjadi johan peringkat negeri dan dia diumumkan sebagai pengerusi terbaik.

Teknik Plot
Teknik plot atau teknik penceritaan ialah cara pengarang mengolah ceritanya supaya menarik dan berkesan.
1. Teknik Pemerian / huraian / deskriptif.
- Teknik ini digunakan oleh pengarang untuk menjelaskan sesuatu keadaan, situasi atau perasaan. Contohnya, pengarang memerikan suasana pembelajaran di Makmal Kimia.
2. Teknik dialog.
- Untuk menjadikan sesebuah cerita lebih realistik, pertuturan antara watak digunakan. Contohnya, Azfa Hanani berdialog dengan Kak Finaz.
3. Teknik Monolog dalaman.
- Watak berkata-kata di dalam hati atau berfikir tentang sesuatu perkara. Contohnya, Azfa Hanani bermonolog dalaman setelah dia terasa tersindir dengan kata-kata Kamilah.
4. Teknik Imbas Kembali
- Ingatan sesuatu watak terhadap peristiwa, kejadian yang telah berlaku atau yang telah dialaminya. Contohnya, Kisah Murni meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya diceritakan oleh Tengku Mazran.
5. Teknik Suspen.
- Unsur suspen dapat mengundang minat pembaca untuk menghabiskan bacaan bagi mengetahui kisah seterusnya. Contohnya, Ekran telah meninggalkan Azfa Hanani ketika di Dewan Sri Wawasan ketika mereka melawat pameran buku Pesta Buku Alam Malaysia dan kisah gerai burger Ekran dibakar.
6. Teknik Kejutan.
- Pengarang menerapkan unsur kejutan untuk mewujudkan suasana pembacaan yang menarik. Contohnya, Azfa Hanani terkejut apabila melihat pak long dan Zuraini yang telah sembuh daripada penyakit lumpuh berbual dengan Datuk Tengku Makmur.

GAYA BAHASA
1. Peribahasa – hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi negeri sendiri. (194) dan sambil menyelam minum air (173)
2. Personifikasi – biarpun dadaku dikocak debar yang bukan kepalang hebatnya...(45)
...kerana perasaan tertarik itu acap kali hadir tanpa disedari...(151)
3. Simile – macam rusa masuk kampung, bagai aur dengan tebing, umpama gajah putih (37).
4. Metafora – arus lamunan (107), putik-putik kedewasaan (151), takhta hati (152)
5. Sinkop – “Agaknya, orang tu tak dapat cari nombor PIN.” (63) “Sikit-sikit tu, fahamlah. Cuma, nak menjawab tu yang susah,” ujarku....(54)
6. Penggunaan bahasa Arab – keadaan akan berubah tetapi mereka akan terus kuhubungi, insya-Allah. (43)
7. Penggunaan perkataan bahasa Perancis – “merci beau coup”. (98)
8. Paradoks - ...gadis malang yatim piatu ini mahu diangkat menjadi anak emas sebuah keluarga hartawan (20), bahawa kedua-dua orang tuanya bekerja sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia. Dia bukannya berasal dari keluarga yang miskin. (213)

NILAI
1. Hormat-menghormati – Abang Mazran dan kak finaz menghormati pak long dan mak long walaupun mereka berketurunan bangsawan.
2. Kasih sayang – Bapa saudara Azfa Hanani yang dipanggil pak long sanggup menjaganya dari kecil selepas kematian ayah dan ibu Azfa Hanani.
3. Tanggungjawab – Azfa Hanani sanggup menyamar sebagai Tengku Murni demi memulihkan tekanan perasaan yang dihadapi oleh datin Maziah.
4. Kesyukuran – walaupun sebelum ini Azfa Hanani tinggal di rumah mewah milik Datin Maziah, namun dia masih gembira walaupun kembali tinggal di rumah pak longnya.
5. Baik hati – Azfa Hanani memaafkan kesalahan Syafikah dan Fuziana dan dia sedikit pun tidak mendendami mereka.

PENGAJARAN
1. Kita hendaklah memberikan pertolongan kepada yang memerlukan. Azfa Hanani sanggup membantu Kak Finaz dan Abang Mazran dengan menyamar sebagai tengku Murni.
2. Kita hendaklah menerima takdir yang menimpa dengan reda. Azfa Hanani reda menerima takdir bahawa kematian ayah dan ibunya dalam kemalangan disebabkan oleh Datuk Tengku Makmur.
3. Kita hendaklah bersikap rendah diri terhadap orang lain walaupun berasal daripada keluarga berada. Walaupun Tengku Murni anak orang kaya, tetapi dia tidak sombong dengan rakan-rakannya yang lain.
4. Seseorang yang pernah melakukan kesilapan mestilah mengakui kesilapannya. Datuk Tengku Makmur meminta maaf dan mengakui kesilapannya sehingga menyebabkan kematian ibu dan bapa Azfa Hanani.
5. Kita hendaklah bersimpati terhadap kesusahan orang lain walaupun kita telah hidup senang. Azfa Hanani teringatkan keadaan pak long, mak long, dan sepupu-sepupunya semasa dia melihat lauk-pauk yang lazat dihidangkan kepadanya.
6. Kita perlu menjaga maruah diri setiap masa. Azfa Hanani menolak pelawaan lelaki yang tidak dikenalinya itu yang mahu menghantarnya pulang ke rumah.

Cikgu Wanie
Che Siti Normawarni binti Che Nudin. Saya dilahirkan pada 2 Jun 1978 di Kota Bharu Kelantan. Mendapat pendidikan awal di SK Pdg Terap (1985-1990), SMK Pdg Terap(1991-1993), SMK Dato Syed Ahmad (1994-1998), UPM-PBMP(1998-2001). Mula berkhidmat sebagai seorang pendidik di SMJK Heng EE P.P (2001-2002), SMK Ideal Heights (2003-2007), SMK Tunku Putra(2008-kini) Saya dilantik sebagai Guru Cemerlang Bahasa Melayu mulai 24 Ogos 2010.

Related Posts

2 comments

  1. Saya suka . Terima kasih cikgu. Mohon Copy untuk tujuan rujukan.

    ReplyDelete
  2. saya suka...Terima kasih cikgu..saya nk copy yea untuk tujuhan Rujukan saya

    ReplyDelete

Post a Comment

Subscribe Our Newsletter