ERTI SEBUAH PENGORBANAN
SINOPSIS
Iman Zulaikha merupakan seorang pelajar tingkatan satu. Setelah ibu bapanya bercerai, Iman tinggal bersama-sama datuk dan neneknya di kampung. Iman menyimpan hasrat untuk menyatukan semula ibu dan bapanya. Iman dan Pei Wen merupakan sahabat yang rapat sama ada di sekolah atau di rumah. Mereka sering mencurah rasa dan sama-sama berbincang bagi menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi. Setiap hari apabila sampai di rumah, Iman akan membaca dan menghantar e-mel kepada ibunya yang berada di New Zealand.
Di sekolah, Iman merupakan seorang pelajar yang cemerlang dan dikagumi oleh pelajar-pelajar yang lain. Namun, Linda sering menimbulkan masalah dan tidak mahu berbaik-baik dengan Iman. Kehadiran pelajar baharu, iaitu Adif Danial ke sekolah mereka menambah lagi rakan Iman termasuk Zulkarnain. Pernah pada suatu ketika Linda menolak Iman sehingga terjatuh dari tangga gara-gara Iman tidak mahu menarik diri daripada pertandingan pidato yang mereka sertai. Berkat kegigihan dan ketabahannya berlatih, Iman berjaya menjadi juara dan bakal mewakili sekolahnya dalam pertandingan pidato di peringkat daerah.
Kehadiran ayahnya secara tiba-tiba pada suatu hari telah mengganggu ketenangan Iman. Ayahnya memberitahu bahawa dia ingin berkahwin dengan Puan Sofia, ibu Adif Danial. Ketika berjumpa Yusri di sekolah, Adif Danial terkejut dan menyedari bahawa Yusri ialah bapa Iman. Hal ini menyebabkan Adif Danial memberontak dan menjauhkan diri daripada Iman, Pei Wen dan Zulkarnain tetapi mula merapatkan diri dengan Linda.
Oleh sebab kedua-dua anak mereka tidak bersetuju, Yusri dan Puan Sofia tidak jadi berkahwin. Iman kembali mesra dengan ayahnya. Iman menjadi juara pidato di peringkat daerah. Pertandingan ini turut disaksikan oleh ayahnya. Kejahatan Linda terbukti apabila dia ditangkap kerana mencuri diari dan teks pidato Iman. Namun, Iman memaafkan kesalahan Linda.
Pada suatu hari ayah Iman telah menyampaikan berita gembira. Ayahnya mengajak Iman, datuk dan neneknya ke New Zealand untuk bertemu dengan ibunya Ruhaida yang sedang menyambung pengajiannya di peringkat Ph.D. Hal ini amat menggembirakan Iman.
TEMA
Tema novel Erti Sebuah Pengorbanan ialah Kasih sayang. Iman Zulaikha amat menyayangi kedua-dua ibu bapanya. Setelah mereka bercerai, Iman ditinggalkan bersama-sama datuk dan neneknya di kampung. Namun, hubungan ibu dan bapanya masih baik sebagai sahabat. Pelbagai usaha dilakukan agar kedua-dua ibu bapanya dapat bersatu semula.
PERSOALAN
• Ketegasan dalam menyatakan pendirian
• Kasih sayang dalam keluarga / persahabatan
• Semangat setia kawan dalam persahabatan / ketika susah dan senang
• Sikap pemaaf menjernihkan keadaan
• Kegigihan / kecekalan / kesungguhan dalam menghadapi cabaran hidup
• Ketabahan / kesabaran dalam menempuh dugaan / ujian
WATAK DAN PERWATAKAN
Yusri (bapa Iman)
Bekas pensyarah yang beralih ke bidang perniagaan perhotelan. Berpisah dengan cara baik dengan isterinya Ruhaida, tetapi masih mengekalkan hubungan baik demi kebaikan Iman Zulaikha. Berhasrat untuk berkahwin baharu dengan Mak Cik Sofia, ibu tunggal kepada Adif Danial, rakan sekelas Iman. Membatalkan niat itu, sebaliknya kembali membina keluarga yang runtuh ekoran "tentangan" di pihak Iman dan Adif Danial.
Ruhaida (ibu Iman)
Pensyarah kolej yang sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (Ph.D) di New Zealand. Sentiasa berhubung dengan Iman Zulaikha melalui e-mel. Terlantar di hospital di sana sepuluh hari akibat kemalangan. Masih berutus berita dengan Yusri, bekas suami. Buktinya, Yusri hadir dalam pertandingan pidato yang disertai Iman menerusi makluman Ruhaida.
Nenek Iman
Ibu kepada Ruhaida, bekas mertua kepada Yusri. Menjaga Iman Zulaikha yang ditinggalkan di kampung. Percakapannya teratur apabila menasihatkan Iman supaya tidak menaruh prasangka buruk terhadap ibunya kerana lama tidak mengirim balasan e-mel.
Datuk Iman
Bapa Ruhaida, bekas bapa mertua Yusri. Tenang dalam tutur kata, pendapat dan membuat keputusan.
Pak Su Razlan (bapa saudara Iman)
Anak bongsu datuk dan nenek Iman. Bapa saudara Iman. Baru tamat pengajian dalam bidang pentadbiran perniagaan di universiti yang sama dengan Kak Ngahnya, Ruhaida di New Zealand. Terlepas cakap tentang Ruhaida yang dilihatnya berjalan dengan seorang lelaki Inggeris (mungkin Albert yang disebut dalam e-mel Ruhaida kepada Iman).
Pei Wen
Teman karib Iman Zulaikha. Sekelas dan berjiran dengan Iman Zulaikha. Sentiasa menyokong Iman Zulaikha, selain saling berkongsi suka duka. Mulanya hubungan Pei Wan dengan ibu tirinya tegang, tetapi pulih setelah menuruti nasihat nenek Iman supaya membantu kerja di rumah.
Adif Danial
Anak Mak Cik Sofia, ibu tunggal yang hendak dikahwini Yusri. Tidak bersetuju dengan cadangan ibunya untuk berkahwin dengan Yusri (ayah Iman) lalu menunujukkan bantahan dengan menjauhi Iman walaupun pada mulanya bersikap mesra. Kesempatan itu disambar oleh Linda untuk rapat dengannya. Berjaya memintas Iman Zulaikha untuk menduduki tempat pertama dalam peperiksaan.
Zulkarnain
Merupakan rakan sekumpulan dengan Iman Zulaikha. Menemani Adif Danial berkunjung ke rumah datuk dan nenek Iman untuk memohon maaf. Melafazkan secara terbuka bahawa dia sukakan Pei Wen.
Norazlinda Borhan (Linda)
Saingan ketat Iman Zulaikha. Penolong ketua darjah yang gemar menonjol diri. Sanggup menggunakan kekerasan dengan menolak Iman hingga tercedera. Kalah dalam perebutan tempat mewakili sekolah ke pertandingan pidato di peringkat daerah. Melakukan sabotaj dengan mengambil diari Iman yang mengandungi teks pidato dan kad catatan ringkas isi pidato. Akhirnya terbongkar, tetapi dimaafkan oleh Iman Zulaikha.
Ai Ling
Mencadangkan Iman Zulaikha sebagai wakil sekolah berdasarkan rekod kemenangan Iman sebanyak tiga kali sebelum ini.
Nazim
Ketua kelas 1 Dinamik. Meminta kepastian Cikgu Julia tentang pemilihan wakil pidato sekolah.
Cikgu Julia
Guru Bahasa Melayu yang disenangi oleh Iman Zulaikha hingga dia sanggup meluahkan perasaan tentang hal-hal peribadi kepada gurunya.
Cikgu Shaharuddin
Guru disiplin yang menyiasat kes kehilangan diari Iman Zulaikha.
Mak Cik Sofia (ibu Adif Danial)
Mirip ciri Ruhaida pada mata Iman Zulaikha. Turut berkunjung ke majlis kenduri kesyukuran di rumah datuk dan nenek Iman Zulaikha. Berhasrat membawa balik Adif Danial bersekolah semula di Kuala Lumpur dan bercadang berkahwin dengan Yusri iaitu ayah Iman Zulaikha.
NILAI MURNI
1: Tegas
Contoh peristiwa: Iman Zulaikha enggan menarik diri daripada pertandingan pidato walaupun diberi kata dua oleh Linda.
2: Berterus terang
Pei Wen berkongsi masalah hubungannya dengan ibu tiri kepada Iman Zulaikha, malah bersetuju mendapatkan nasikat datuk Iman supaya hubungan dipulihkan.
3: Penyayang
Yusri kerap melawat Iman Zulaikha dan bekas ibu bapa mertua di kampung tanpa menimbulkan kekecohan. Yusri juga sentiasa memberi galakan kepada Iman supaya berjaya dalam peperiksaan dan pidato.
4: Setia kawan
Iman dan Pei Wen saling menyokong dan berkongsi luahan perasaan. Iman menjemput Pei Wen makan nasi di rumah datuk neneknya justeru Pei Wen awalnya enggan berhadapan dengan ibu tiri.
5: Pemaaf
Iman sanggup memaafkan Linda walaupun dirinya pernah dikasari dan diperlakukan sebagai musuh oleh Linda.
6: Cekal / gigih / berani / bersungguh-sungguh
Iman tidak tergugat walaupun nota persediaan dan kad imbas rujukan pidatonya hilang secara misteri. Iman tidak mudah mengalah dengan dugaan itu.
7: Tabah / Sabar / Tidak mudah putus asa
Walaupun ayahnya menyatakan dia telah menemui calon isteri pengganti ibunya, Iman masih berharap dia dapat menyatukan kembali ibu bapanya. Iman juga akur akan nasihat Cikgu Julia supaya menghormati kehendak ibu bapa sebagai anak yang solehah.
LATAR MASYARAKAT
1. Masyarakat yang tegas
Iman enggan menarik diri daripada pertandingan pidato walaupun disesak oleh Linda. Kejadian dia ditolak jatuh oleh Linda tidak melemahkan semangatnya untuk menyerah kalah.
2. Masyarakat yang berterus terang
Pei Wen berkongsi masalah hubungannya dengan ibu tiri kepada Iman Zulaikha, malah bersetuju mendapatkan nasikat datuk Iman supaya hubungan dipulihkan.
PENGAJARAN
- Kita hendaklah tegas dalam menyatakan pendirian
- Kita hendaklah berkasih sayang sesama keluarga
- Kita hendaklah menunjukkan semangat setia kawan ketika susah dan senang
- Kita hendaklah bersikap pemaaf terhadap orang lain
- Kita hendaklah gigih dalam menempuh cabaran hidup
- Kita hendaklah tabah dalam menghadapi dugaan / ujian
LATAR
Latar tempat
1. Rumah datuk nenek Iman
• ruang dapur: Iman bersama-sama Pei Wen makan nasi bersama-sama
• bilik Iman: Iman meletak gambar ibu dan ayahnya yang sudah berpisah /
tempat Iman menyiapkan tugasan sekolah /
tempat Iman membalas e-mel ibunya dengan menggunakan komputer riba
• pangkin / bawah pokok: Pei Wen bercerita tentang tekanan perasaan akibat sikap ibu tirinya
2. Sekolah
• bilik darjah tingkatan 1 Dinamik: Cikgu Julia memperkenalkan Adif Danial
• ruang tandas: Pei Wen ternampak Iman menangis selepas dituduh mempengaruhi rakan sekelas oleh Linda. Pei Wen berusaha menenangkan rakan karibnya itu.
• dewan sekolah: berlangsung pertandingan pisato antara Iman dan Linda bagi memilih wakil sekolah
3. Port Dickson: Yusri membawa Iman, datuk dan nenek untuk makan-makan sebelum memaklumkan hasratnya untuk berkahwin dengan Sofia.
Latar masa
• Pagi Sabtu: Iman menerima panggilan telefon daripada ayahnya / membantu datuknya membersihkan reban ayam / kawan-kawan Iman datang ke rumah menjemput Iman membuat latihan pidato di sekolah
• Waktu rehat di sekolah: Iman memberitahu Zulkarnain tentang cadangan ayahnya hendak berkahwin dengan ibu Adif Danial.
• Tengah hari: majlis kenduri kesyukuran di rumah datuk Iman atas kejayaan Iman dalam pertandingan pidato dan pelajaran
• Waktu petang: Iman dan Zulkarnain berkunjung ke banglo datuk Adif Danial bagi meredakan keadaan tegang antara Iman dengan Adif Danial. Reaksi Adif begitu dingin.
• Malam: Yusri membuat pengakuan kepada Iman bahawa keluarga mereka akan bersatu semula. Yusri juga mahu mengajak Iman, datuk dan nenek menziarahi Ruhaida yang sedang belajar di New Zealand.
Watak perwatakan iman zulaikha
ReplyDelete