SINOPSIS KESELURUHAN NOVEL AZFA HANANI

              Novel Azfa Hanani mengisahkan pengorbanan seorang gadis remaja, bernama Azfa Hanani (Nani). Azfa Hanani merupakan murid tingkatan 5 Kenanga, Sekolah Menengah Seri Dian. Azfa Hanani telah diminta menyamar sebagai Tengku Murni oleh Tengku Mazran dan isterinya Syafinaz. Hal ini demikian kerana Tengku Murni telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya. Datin Maziah yang turut terlibat dalam kemalangan itu berada dalam keadaan koma . Apabila Datin Maziah sedar daripada komanya dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa anak perempuan tunggalnya telah di kembali ke rahmatullah.
                     Azfa Hanani yang hidup dalam kemiskinan di rumah Pak Madi (Pak Long) telah mengambil buku rujukan tanpa kebenaran pihak sekolah. Tujuannya adalah untuk mengulang kaji pelajarannya .Anak Pak Long Azfa Hanani iaitu Zuraini mengalami penyakit lumpuh. Azfa Hanani yang merasakan dirinya membebankan keluaga Pak Long bertekad untuk menerima tawaran penyamaran sebagai Tengku Murni. Azfa Hanani menerima tawaran itu kerana Tengku Mazran berjanji untuk menanggung kos rawatan Zuraini
.                 Azfa Hanani telah dibawa ke banglo Datuk Tengku Makmur untuk menemui Datin Maziah. Azfa Hanani telah diberi penjelasan dan tunjuk ajar oleh Tengku Mazran dan isterinya tentang tingkah laku Tengku Murni. Penyamaran itu nampaknya berhasil kerana Datin Maziah tidak mengesyaki apa-apa kekurangan yang ada dalam diri Azfa Hanani. Kemudian Azfa Hanani dihantar bersekolah di Sekolah Menengah Taman Sari. 
                Di sana, dia mengenali rakan-rakan Tengku Murni, seperti Tengku Ellina, Suzana, Adriani, Ekran dan lain-lain. Azfa Hanani turut mengenali beberapa orang pelajar yang tidak menyukai Tengku Murni iaitu Laili, Syafikah dan Fuziana. Di banglo Datin Maziah dan di sekolah baharunya pelbagai peristiwa gembira dan sedih dilalui. Azfa Hanani telah membaca diari Tengku Murni. Melalui diari ini terbongkar rahsia cinta yang terhalang antara Tengku Murni dan Ekran. Cinta mereka terhalang disebabkan abang Tengku Murni, iaitu Tengku Muzaffar mementingkan status keluarga mereka sebagai golongan kaya dan bangsawan. Hal ini menyebabkan konflik berlaku antara Azfa Hanani dan Tengku Muzaffar. Pertengkaran mereka telah didengari oleh Datin Maziah, akibatnya penyamaran Azfa Hanani terbongkar. Datin Maziah telah menghalau Azfa Hanani .
                Azfa Hanani pulang ke rumah Pak Long Madi di Kampung Merpati. Datuk Tengku Makmur dan Datin Maziah datang ke Kampung Merpati untuk memohon maaf dan memujuk Azfa Hanani agar kembali ke banglo mereka. Tengku Datuk Makmur menceritakan kisah yang terjadi enam belas tahun yang lalu. Menurut beliau kematian ibu bapa Azfa Hanani disebabkan kecuaiannya semasa memandu dalam keadaan mengantuk. Teksi yang dinaiki oleh ibu bapa Azfa Hanani telah terjunam ke dalam gaung dan Azfa Hanani tercampak keluar. Datin Maziah yang bersimpati dengan Azfa Hanani telah menyusuinya. Datin Maziah dan Datuk Tengku Makmur ingin menebus kesalahan mereka. Mereka memujuk agar Azfa Hanani kembali tinggal bersama-sama mereka.
                Akhirnya Azfa Hanani bersetuju untuk kembali tinggal di banglo itu dengan identiti sebenarnya. Dia juga mengetahui bahawa ibu bapa Ekran sebenarnya merupakan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia. Mereka bukannya miskin sebagaimana yang dikatakan oleh Tengku Muzaffar. 
Cikgu Wanie
Che Siti Normawarni binti Che Nudin. Saya dilahirkan pada 2 Jun 1978 di Kota Bharu Kelantan. Mendapat pendidikan awal di SK Pdg Terap (1985-1990), SMK Pdg Terap(1991-1993), SMK Dato Syed Ahmad (1994-1998), UPM-PBMP(1998-2001). Mula berkhidmat sebagai seorang pendidik di SMJK Heng EE P.P (2001-2002), SMK Ideal Heights (2003-2007), SMK Tunku Putra(2008-kini) Saya dilantik sebagai Guru Cemerlang Bahasa Melayu mulai 24 Ogos 2010.

Related Posts

3 comments

Post a Comment

Subscribe Our Newsletter