( Zon Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak)
Sinopsis Novel Kembara Amira
Novel Kembara Amira mengisahkan tentang Amira yang pergi ke Desa Karpus bersama-sama dengan kawan karibnya, Jacinta semasa cuti sekolah. Dia pergi ke Desa Karpus yang terletak di Gunung Mat Raya kerana ibunya, Profesor Zaidah yang merupakan seorang pensyarah dan profesor dalam bidang arkeologi di sebuah universiti sedang menjalankan kajian dan mencari gali artifak atau tinggalan manusia zaman silam di situ.
Profesor Zaidah dibantu oleh Dr. Zawawi iaitu seorang pensyarah muda dan juga para pelajar tahun akhir yang sedang mengikuti bidang pengajian yang berkaitan dengan arkeologi. Di Gunung Mat Raya, Amira berkawan dengan Itai, iaitu seorang anak orang Asli yang tinggal di kampung orang Asli yang berhampiran dengan kawasan tapak kerja lapangan di Desa Karpus itu.
Di samping mereka yang sedang menjalankan kerja mencari gali artifak, satu kumpulan lain sedang membuat kajian untuk mencari gali emas di kawasan hutan itu. Pihak yang menjadi pencari emas itu pula ialah sebuah syarikat dari Pulau Pinang dan mereka mengupah O’Hara menjalankan kajian untuk menilai kandungan emas di kawasan itu. Selain itu, Malique pula diberikan tugas untuk memasukkan laporan kajian itu ke dalam komputer dan Internet. Antara yang terlibat dalam syarikat pencari emas itu ialah Chin dan Roslan di samping pekerja-pekerja yang menjalankan kerja menggerudi tanah.
Semasa berada di dalam hutan itu, Amira dan Jacinta telah mengalami peristiwa pahit, iaitu Amira dihanyutkan oleh air sungai yang deras. Peristiwa itu berlaku semasa Amira hendak berjumpa dengan Malique di kawasan air terjun yang menjadi tempat mereka mandi. Amira bernasib baik kerana telah diselamatkan oleh Itai daripada lemas di dalam sungai dan Jacinta pula telah diselamatkan oleh Tau dalam keadaan pengsan kerana hendak menjejaki Amira yang dihanyutkan oleh air sungai.
Semasa berada di tapak cari gali itu, mereka telah menemukan karpus atau tulang pergelangan tangan manusia, barang-barang tinggalan manusia zaman silam seperti tembikar dan kapak batu. Amira merasai pengalamannya sendiri iaitu dia berjaya menemukan bekas air yang sempurna bentuknya iaitu barang tinggalan manusia pada zaman silam itu. Mereka juga menjumpai kapak batu di Gunung Gua Gajah dengan bantuan Tau.
Di samping itu, pelbagai peristiwa ganjil telah mereka alami. Mereka mendengar pelbagai bunyi pada waktu malam, tali khemah mereka dipotong, dan terdapat kesan tapak kaki manusia di kawasan kerja lapangan itu dijalankan.
Profesor Zaidah pula telah mengalami kecederaan di lengannya, akibat kemalangan semasa dia menaiki kereta pacuan empat roda yang dipandu oleh Pak Lias di dalam hutan itu. Perkara itu berlaku semasa kereta pacuan empat roda yang mereka dinaiki terbabas dan hilang kawalan kerana breknya tidak berfungsi.
Ludin, iaitu ketua kampung orang Asli yang juga bapa angkat Itai telah membantu Profesor Zaidah. Dia merawat kecederaan Profesor Zaidah dengan menggunakan kaedah rawatan tradisional iaitu menggunakan daun kayu, herba dan buluh.
Malique yang menganggotai kumpulan pencari emas pula telah mengalami kemalangan akibat kereta pacuan empat roda yang dinaikinya terbabas ke dalam gaung sewaktu hujan lebat ketika hendak mencari pekerja yang hilang. Malique pengsan dan cedera. Tulang kakinya patah. Malique bernasib baik kerana dia telah diselamatkan oleh makhluk yang berbulu tebal. Walau bagaimanapun, dia disembunyikan dan dikurung di dalam sebuah gua di Gunung Gua Gajah oleh makhluk itu. Kehilangan Malique telah menyebabkan kawan-kawannya berasa bimbang. Mereka berusaha untuk mencarinya. Amira pula menggerakkan usaha dengan mendapatkan bantuan daripada Itai untuk mencari Malique.
Sebelum itu, Tau mengajak mereka ke Gua Gajah. Di situ, Amira terjumpa mobile disk kepunyaan Malique di dalam gua itu. Hal itu menguatkan semangat Amira untuk mencari Malique. Amira berasa bahawa Malique masih hidup dan berada tidak jauh dari kawasan gua itu. Perkara itu diperkukuh lagi dengan bukti bahawa mobile disk itu memang milik Malique kerana kandungannya berisi laporan hasil kajian tentang emas di kawasan hutan itu. Amira benar-benar yakin bahawa Malique masih hidup dan berada di kawasan gua itu. Dia meminta bantuan Itai untuk mencari Malique. Selain Amira dan Itai, Pak Lias, Jacinta, Roslan, Profesor Zaidah dan Ludin turut bersama-sama dengan mereka untuk mencari Malique. Pada masa yang sama, O’Hara dan ibu Malique, iaitu Jennifer juga sampai dan turut sama ke tempat tersebut untuk menyertai gerakan itu.
Malique yang cedera pula telah dijaga dan dirawat oleh Tau di dalam gua itu. Tau yakin bahawa Malique ialah Sabi iaitu anak kandungnya dengan Ipah. Tau yang memakai sarung beruang cuba bertindak kasar kepada Pak Lias kerana dia tidak membenarkan mereka membawa Malique keluar dari situ. Walau bagaimanapun, Ludin sampai tepat pada masanya dan dia menasihati Tau supaya jangan bertindak di luar batasan dan menerima keadaan itu dengan rasional.
Akhirnya rahsia yang terpendam begitu lama terurai dengan pendedahan yang dilakukan oleh Jennifer. Jennifer mengakui bahawa Malique sebenarnya ialah Sabi iaitu anaknya dengan Tau. Dia juga mengakui bahawa Tau ialah suaminya dan Itai ialah adik Malique. Hal ini bermakna, Itai dapat bertemu dengan abang dan juga ibu kandungnya sendiri. Jennifer (Ipah) telah meninggalkan Tau dan Itai suatu masa dahulu kerana konflik jiwa akibat dia tidak diterima oleh masyarakat di kampung itu. Jadi, dia mengambil kesempatan untuk keluar dari kampung itu dengan mengikut Johnny. Selepas semuanya selesai, Malique membuat keputusan untuk tinggal di situ buat sementara waktu dengan bapa dan adik kandungnya, iaitu semasa bapanya merawat kecederaannya itu.
Amira meneruskan pengajiannya dalam bidang yang diminatinya di sebuah universiti di Kuala Lumpur. Itai pula melanjutkan pengajiannya dalam bidang perubatan. Malique meneruskan projek teknologi maklumat (IT) di kampungnya termasuklah di Dahan Hijau dan dia dibantu oleh Roslan. Malique berjaya menggagalkan projek cari gali emas itu kerana semua laporannya terhapus oleh virus ciptaannya sendiri. Hal ini bermakna, kawasan hutan yang disayanginya itu dapat diselamatkan daripada menjadi mangsa syarikat pencari gali emas. Sementara itu, Jacinta berada di Paris kerana melibatkan diri dalam perniagaan fesyen, syarikat milik bapanya. Dr. Zawawi pula sudah menukar profesionnya iaitu dia melibatkan diri dengan projek swasta yang mengesan khazanah Melayu yang hilang dan tenggelam di dalam laut. Profesor Zaidah masih meneruskan projeknya di Bukit Mat Raya iaitu dalam fasa keempat dan dibantu oleh Rusdi yang menggantikan tempat Dr. Zawawi.
Tema
Tema
Tema novel ini ialah ketabahan dalam menjayakan sesuatu misi atau tugas tanpa mengenal erti putus asa dan takut.
Persoalan-persoalan dalam novel Kembara Amira
Persoalan-persoalan dalam novel Kembara Amira
i. Persoalan tentang kepakaran kaum wanita dalam bidang-bidang profesional. Profesor Zaidah mengetuai projek cari gali arkeologi di Bukit Mat Raya.
ii. Persoalan tentang penggunaan masa cuti dengan cara yang berfaedah. Amira bersama Jacinta ke Bukit Mat Raya membantu ibunya, Profesor Zaidah yang mengetuai cari gali bahan artifak yang tinggi nilainya di samping memastikan kehijauan hutan dikekalkan daripada pembalakan dan pengusaha cari gali emas.
iii. Persoalan tentang sikap seorang anak yang tidak dapat menerima hakikat kehadiran ibu tiri. Jacinta tidak dapat menerima kenyataan yang ayahnya kahwin semula.
iv. Persoalan tentang kehebatan orang asli dalam ikhtiar hidup dan kelangsungan hidup di hutan. Itai dan Tau dapat menggunakan herba sebagai ubat-ubatan yang mujarab.
v. Persoalan tentang sikap prihatin dan kesanggupan menghadapi cabaran untuk menyelamatkan orang yang dikenali. Amira dengan dibantu Itai, Jacinta, Pak Lias, dan Roslan menghadapi cabaran mendaki Gunung Gua Gajah untuk menyelamatkan Malique yang diculik oleh lembaga yang berbulu beruang.
vi. Persoalan tentang penyesalan seorang ibu kerana mengabaikan perasaan anaknya. Profesor Zaidah menyesali akan sikapnya yang kurang memberi perhatian terhadap Amira setelah Amira hampir lemas.
vii. Persoalan tentang sikap masyarakat yang tidak menerima perbezaan warna kulit. Orang asli tidak menerima Ipah dalam masyarakatnya kerana Ipah berkulit putih dan bermata biru sehingga menyebabkan dirinya dipulaukan.
Watak dan Perwatakan Novel Kembara Amira
Watak Utama
Amira
Amira ialah seorang pelajar dan berkawan baik dengan Jacinta. Ibunya ialah Profesor Zaidah, iaitu pensyarah universiti dalam bidang arkeologi. Semasa cuti sekolah yang panjang, Amira dan Jacinta pergi ke kawasan emaknya yang sedang menjalankan kerja lapangan iaitu mencari gali artifak di Desa Karpus. Dia seorang anak tunggal yang berani dan tabah menghadapi rintangan dan dugaan. Sebagai contohnya, dia berani untuk pergi ke gua Gajah untuk menggerakkan usaha menyelamatkan Malique yang hilang. Amira tabah menghadapi dugaan walaupun mengalami peristiwa pahit iaitu dia hampir mati lemas akbiat tergelincir dan dihanyutkan oleh air sungai yang deras. Amira juga suka menolong orang yang sedang memerlukan bantuan, contohnya Amira menggerakkan usaha untuk menolong Malique dengan mendapatkan bantuan daripada Itai untuk mengesannya. Selain itu, dia bersahabat baik dengan Jacinta yang berketurunan Tionghua.
Amira menghormati orang yang lebih tua daripadanya terutamanya ibunya, Pak Lias dan Dr. Zawawi. Sebagai contohnya, dia mengucapkan salam kepada ibunya pada suatu pagi selepas Jacinta ditemui dalam keadaan pengsan. Selain itu, dia merupakan seorang pelajar yang pintar untuk membuat keputusan. Sebagai contohnya, Amira diminta oleh ibunya untuk membuat keputusan tentang Tau dengan Malique dan Ipah. Dia kuat semangat ketika cuba melawan arus dan tangannya cuba memeluk batu-batu yang terdapat di sepanjang sungai tetapi gagal kerana batu-batu itu licin. Amira seorang yang prihatin, contohnya dia prihatin akan Jacinta yang baru sedar daripada pengsan dengan menyuapkan kawannya sup.
Walau bagaimanapun, dia seorang yang nakal, contohnya kadang-kadang dia berbuat sesuatu tindakan yang tidak dijangka oleh ibu dan ayahnya. Namun begitu, dia seorang anak yang baik, contohnya dia tidak cerewet dan tidak pernah merungut dalam sebarang hal. Selain itu, Amira juga seorang yang penyayang, buktinya dia memicit bahu ibunya yang cedera perlahan-lahan dengan penuh kasih sayang. Amira taat akan agama iaitu dia dengan segera mengqada solat Subuh yang tidak dapat ditunaikan semasa di dalam kereta api. Amira seorang yang bertanggungjawab, contohnya dia rasa bersalah dan tidak berhenti menangis kerana dia yang menyebabkan Jacinta hilang. Dia cuma berhenti menangis apabila Jacinta berjaya ditemui oleh Tau.
Watak Sampingan
Jacinta
Jacinta ialah seorang pelajar yang berbangsa Cina yang berkulit putih dan gebu serta menjadi kawan baik Amira. Ibunya sudah meninggal dunia, dan ayahnya sekarang berkahwin dengan seorang perempuan lain. Dia tidak suka akan ibu tiri yang baru dikahwini oleh ayahnya itu. Dia mengikut Amira pergi ke tapak kerja lapangan atau tapak cari gali artifak tinggalan manusia pada zaman silam yang sedang dijalankan oleh ibu Amira dengan pelajar-pelajarnya tahun akhirnya. Dia telah beberapa kali mengikut Amira dalam melakukan kerja-kerja dalam bidang arkeologi. Jacinta diselamatkan dan diusung oleh Tau ke Desa Karpus. Dia dalam keadaan pengsan ketika dijumpai oleh Tau di celah banir pokok balak yang besar. Jacinta menyukai Dr. Zawawi iaitu pensyarah muda dan pembantu Profesor Zaidah.
Jacinta seorang yang tabah tetapi sentiasa tidak sabar, dan dia cepat merajuk apabila keluarganya menjadi topik perbualan. Dia suka menolong orang, contohnya dia bersama-sama dengan Amira, Itai, Pak Lias, Roslan, dan beberapa orang lagi dalam gerakan mencari Malique yang hilang. Dia sanggup membahayakan dirinya sendiri dalam usaha untuk menolong Amira yang dihanyutkan oleh air sungai yang deras.
Jacinta seorang yang bijak berkata-kata dan pandai berhujah, contohnya dia berhujah dengan O’Hara semasa mereka mencari Malique. Dia mengambil berat akan kebajikan rakannya, contohnya dia membawakan Amira makanan ke khemahnya pada suatu malam. Jacinta juga tidak pernah menyinggung perasaan sahabatnya, Amira walaupun mereka berlainan agama.
Itai
Itai ialah anak Tau tetapi menjadi anak angkat kepada Ludin yang berketurunan suku Orang Asli Semai yang tinggal di kampung di sebelah anak bukit. Sebenarnya Itai ialah adik Malique dan emak mereka ialah Ipah atau Jennifer. Dia seorang anak muda yang hebat, pintar, berani dan memiliki keistimewaan seperti boleh mengenali tapak kaki, meneka jantina berdasarkan tapak kaki dan boleh menghidu bau yang dibawa oleh angin. Itai berkemahiran untuk menangkap ikan dengan tangan iaitu tanpa menggunakan alat menangkap ikan. Itai akan dilantik sebagai ketua kampung yang memahami alam di hutan itu, iaitu menggantikan ayah angkatnya Ludin yang sedang memegang jawatan ketua kampung itu. Itai juga merupakan pelajar yang pintar dan menjadi harapan sekolahnya. Itai berkawan dengan Amira dan Jacinta selepas peristiwa dia menyelamatkan Amira daripada mati lemas.
Itai suka menolong orang yang sedang memerlukan bantuan, contohnya Itai membantu Amira untuk mencari Malique yang hilang. Itai menghormati orang yang lebih tua daripadanya, contohnya dia menghormati Ludin dan Tau dan tidak membantah cakap mereka. Itai seorang yang murah hati, iaitu dia dan Amira sanggup meredah hutan untuk mengambil ketulan emas di sungai untuk dihadiahkan kepada Jacinta. Dia seperti hilang semangat selepas terlihat makhluk yang berbulu ketika bersama-sama dengan Amira di dalam hutan dan seterusnya dia disergah oleh Tau pada masa itu.
Profesor Zaidah
Beliau seorang profesor dan pensyarah universiti dalam bidang arkeologi. Beliau kuat bekerja, contohnya Amira mengatakan memang tabiat ibunya suka memulakan kerja sejak awal pagi iaitu ketika orang lain masih tidur. Amira juga hairan dengan ibunya yang memiliki tenaga yang kuat untuk bekerja. Beliau merupakan ibu yang penyayang, contohnya walaupun sibuk dia masih ada masa untuk Amira, lebih-lebih lagi dia sedar akan kesalahannya yang mementingkan kerjanya selepas Amira . Beliau seorang yang penyabar, contohnya dia masih bersabar dan tidak memarahi Amira kerana kesilapannya yang menyebabkan Jacinta cedera.
Profesor Zaidah seorang ketua yang prihatin, contohnya dia mengambil berat kebajikan keluarga Pak Lias dan bertanyakan perbelanjaan keluarganya sebelum dia meninggalkan mereka untuk bekerja di Bukit Mat Raya. Beliau pakar dalam bidang arkeologi, contohnya dia mengatakan bahawa setiap lapisan tanah yang berlainan warna mewakili satu tempoh masa yang kita sendiri tidak pasti, mungkin ratusan atau ribuan tahun. Beliau berpengalaman selama lebih kurang dua puluh lima tahun dalam bidang itu.
sangat membantu
ReplyDeletetq
ReplyDeletetq..wish for my spm
ReplyDeleteaz®