JENIS-JENIS AYAT



JENIS-JENIS AYAT

Ayat-ayat dalam bahasa Melayu boleh dibahagikan kepada empat jenis, iaitu:-

ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah dan ayat seruan.

1. Ayat Penyata
1. Ayat penyata ialah ayat yang diucapkan dengan maksud untuk menyatakan atau menerangkan sesuatu hal.
2. Ayat penyata juga dikenali sebagai ayat berita atau ayat keterangan.
contoh:
a) Murid-murid sedang mengulang kaji pelajaran di perpustakaan.
b) Nani tidak pergi ke sekolah pada hari ini.
c) Dia suka menonton rancangan televisyen.
d) Ayah sedang berehat di ruang tamu.
e) Kami sekeluarga akan melancong ke Sabah.


2. Ayat Tanya
1. Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk menanyakan sesuatu hal.
2. Terdapat dua jenis ayat tanya, iaitu ayat tanya tanpa kata tanya dan ayat tanya dengan kata tanya.
3. Tanda soal (?) diletakkan pada akhir ayat dalam tulisan.

(i) Ayat Tanya Tanpa Kata Tanya
1. Ayat tanya tanpa kata tanya ialah ayat yang diucapkan dengan meninggikan nada suara pada akhir ayat penyata.
2. Dalam tulisan, nada tanya ini ditandai dengan tanda soal (?).
3. Ayat contoh:

a) Kamu  masih belum makan?
b) Pertandingan berpuisi itu diadakan pada minggu hadapan?
c) Aron Aziz pelakon yang popular?
d) Bas itu sudah bertolak?

(ii) Ayat Tanya Dengan Kata Tanya
1. Ayat tanya dengan kata tanya ialah ayat yang menggunakan kata tanya.

Contoh kata tanya.

apa, siapa, bila, mana, bagaimana , mengapa

2. Ayat contoh:
a) Barang itu apa?
b) Pemain piano itu siapa?
c) Hari jadi kamu bila?
d) Pejabat pos di mana?
e) Keadaan nenek kamu bagaimana?

3. Dalam bentuk tulisan, ayat-ayat tanya ini perlu menerima partikel "-kah" dan diletakkan di hadapan ayat.
4. Ayat contoh:
a) Apakah barang itu?
b) Siapakah pemain piano itu?
c) Bilakah hari jadi kamu?
d) Di manakah pejabat pos?
e) Bagaimanakah keadaan nenek kamu?

3. Ayat Perintah
1. Ayat perintah ialah ayat yang digunakan untuk menimbulkan sesuatu tindakan.
2. Ayat perintah terdiri daripada empat jenis, iaitu:

a) Ayat suruhan
b) Ayat larangan
c) Ayat silaan
d) Ayat permintaan

Panduan Umum Penggunaan Jenis-jenis Ayat Perintah
Ayat Perintah Suruhan


Ayat Suruhan Memberi arahan atau memerintah seseorang membuat sesuatu.
1. Minumlah kopi ini dahulu.
2. siapkan kerja sekolah ini.
3. Fikirkanlah sebelum bertindak.

Ayat Larangan
Melarang seseorang daripada melakukan sesuatu.
Menggunakan kata larangan seperti
jangan, usah atau tak usah.
1. Jangan petik buah itu.
2. Usah bermain di sungai.
3. Tak usah kau campur tangan dalam hal saya.

Ayat Silaan
Menjemput atau mempersilakan seseorang
Menggunakan kata silaan seperti sila atau jemput.
1. Sila beratur sebelum masuk ke dalam kelas.
2. Silalah pakai topi keledar.
3. Jemput makan bersama-sama.
4. Jemputlah datang ke rumah saya.

Ayat Permintaan
Memohon permintaan dan pertolongan.
Menggunakan kata permintaan seperti
minta atau tolong.
1. Minta tuan-tuan dan puan-puan mengambil tempat duduk masing-masing.
2. Minta anda semua bersabar.
3. Tolong ambilkan saya secawan air.
4. Tolong uruskan perkara ini dengan segara.

4. Ayat Seruan
1. Ayat seruan ialah ayat yang digunakan untuk melahirkan perasaan seperti takut, marah, gembira, sakit, benci dan sebagainya.
2. Tanda seru (!) biasanya diletakkan pada akhir ayat seruan.
3. Ayat seruan didahului oleh kata seru seperti
amboi, wah, eh, oh, aduh, cis dan sebagainya.
4. Ayat contoh:
a) Amboi, cantiknya gadis itu!
b) Wah, mahalnya baju ini!
c) Oh, aku lupa bawa wang hari ini!
d) Cis, berani kamu pukul saya!
e) Syabas, kamu telah menang!





Latihan:
Isi ayat tersebut dengan jenis ayat yang sesuai.
1.       Oh,rupa-rupanya kamu yang mengambil barang saya! _____________________
2.       Aduhai,malangnya nasibku hari ini!                       _____________________
3.       Tolong ambilkan beg saya.                                     _____________________
4.       Jangan pijak rumput itu.                                           _____________________
5.       Wah,besarnya rumah kamu!                                     _____________________
6.       Saya makan sebiji gula-gula.                                           _____________________
7.       Dimanakah kamu tinggal?                                         _____________________
8.       Tahukah kamu siapa yang merasmikan dewan itu ? _____________________
9.       Aduh, penat betul setelah berjalan sejauh lima kilometer!____________________
10.   Usah awak bercakap bohong lagi. Saya sudah tahu hal yang sebenarnya. _____________________
11.   Persembahan murid-murid tahun dua mendapat tepukan yang gemuruh daripada penonton. _____________________
12.   Amboi, pandai betul kamu memutarbelitkan fakta !_____________________
13.   Tolong kirimkan dokumen-dokumen ini dengan pos laju . _____________________
14.   Oh, rupa-rupanya engkaulah yang mencuri dompet aku ! __________________
15.   Beribu-ribu penonton membanjiri stadium itu untuk menyaksikan perlawanan bola sepak .   _____________________
16.   Usahlah kita betengkar tentang hal-hal itu lagi . _____________________
17.   Aduh, sakit kakiku ini! _____________________
18.   Mangsa kemalangan itu telah meninggal dunia. _____________________
19.   Harap hadirin bersabar seketika. _____________________
20.   Bilakah tarikh perkahwinan Azmi? _____________________
21.   Leornardo Da Vinci merupakan pelukis potret Monalisa. _____________________
22.   Kampung saya bernama Kampung Hijrah. _____________________
23.   Biarkan sahaja mereka bermain di situ . _____________________
24.   Hebatkah Panglima Leman berbanding Panglima Dali ? _____________________
25.   Awak siapkanlah kerja itu sekarang. _____________________
26.   Tidak usah kau ambil tahu akan hal aku lagi. _____________________
27.   Sila buat laporan tentang kejadian tersebut di balai pilis yang berdekatan. _____________________
28.   Tolong hantar jawapan sebelum hari Rabu. _____________________
29.   Engkau tunggu dia di rumah. _____________________
30.   Kamu Erna? _______________________
Cikgu Wanie
Che Siti Normawarni binti Che Nudin. Saya dilahirkan pada 2 Jun 1978 di Kota Bharu Kelantan. Mendapat pendidikan awal di SK Pdg Terap (1985-1990), SMK Pdg Terap(1991-1993), SMK Dato Syed Ahmad (1994-1998), UPM-PBMP(1998-2001). Mula berkhidmat sebagai seorang pendidik di SMJK Heng EE P.P (2001-2002), SMK Ideal Heights (2003-2007), SMK Tunku Putra(2008-kini) Saya dilantik sebagai Guru Cemerlang Bahasa Melayu mulai 24 Ogos 2010.

Related Posts

3 comments

  1. Mohon halal segala ilmu yang diperturunkan di sini. Saya kongsi ilmu ini untuk anak didik saya.

    ReplyDelete
  2. Mohon halal segala ilmu, semoga Allah permudahkan dan membalas segala kebaikan.

    ReplyDelete
  3. Saya mohon guna bahan ini untuk PdP saya. Terima kasih cikgu. Moga Allah permudahkan segala urusan cikgu.

    ReplyDelete

Post a Comment

Subscribe Our Newsletter